Jumlah Paparan Halaman

Facebook like

Jom Like dan Share Fb Coach VB437

Powered By Blogger

Dr Auto ILPKL

Dr Auto ILPKL
Pulzar Oil at Dr Auto ILPKL

O2O Member

020 Member

Jom Jadi Usahawan! (KLIK LOGO)

Jom Jadi Usahawan! (KLIK LOGO)
CNI Business Owner (Klik Logo)
Memaparkan catatan dengan label On line marketing. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label On line marketing. Papar semua catatan

INSTAGRAM UNTUK PERNIAGAAN




Instagram ialah aplikasi perkongsian foto dan video percuma yang tersedia di Apple iOS, Android dan Windows Phone. Pengguna Instagram  boleh memuat naik foto atau video ke aplikasi Instagram dan mengongsinya dengan pengikut mereka atau dengan kumpulan rakan yang terpilih. Mereka juga boleh melihat, memberikan komen dan menyukai kiriman yang dikongsi oleh rakan mereka di Instagram. Sesiapa yang berumur 13 tahun ke atas boleh mencipta akaun dengan mendaftarkan alamat e-mel dan memilih nama pengguna.

Berdasarkan maklumat yang dipaparkan di laman web Instagram (https://business.instagram.com) pada bulan Julai 2018, Instagram mempunyai lebih 1 Bilion pengguna yang aktif di seluruh dunia. Lebih 500 juta pengguna melayari aplikasi Instagram pada setiap hari. Selain dari peniaga atas talian yang mempunyai modal yang kecil untuk menguruskan pengiklanan mereka, Instagram turut digunakan oleh syarikat – syarikat besar seperti LG, Pepsi, KFC dan McDonald.  Berdasarkan dari statistik di atas jelas bahawa Instagram adalah salah satu alat promosi yang penting untuk sesebuah perniagaan.



CARA MEMBUAT JUALAN DENGAN FACEBOOK


KOMUNITI DIGITAL


Aset terpenting yang boleh dibina dengan menggunakan media sosial ialah komuniti. Dalam dunia nyata bilangan komuniti yang boleh dianggotai oleh seseorang individu adalah terhad. Faktor geografi mempengaruhi bilangan ahli di dalam sesebuah  komuniti. Dunia digital atau maya membenarkan komuniti yang besar dibina dengan tanpa batasan geografi dan sempadan negara. Komuniti digital seperti yang ditunjukkan di dalam Rajah 2.9 boleh terdiri daripada:
1.      Kenalan langsung: Keluarga, saudara mara, sahabat handai dan rakan sepejabat.
2.      Kenalan tidak langsung: Mereka yang mengenali kenalan langsung dan melibatkan diri dalam komuniti secara atas talian (on line).
3.      Bukan kenalan: Mereka yang mengenali kenalan tidak langsung dan melibatkan diri dalam komuniti yang diwujudkan secara atas talian.



Kewujudan multiplier effect di mana ahli komuniti menjadi semakin ramai akibat penambahan kenalan tidak langsung dan bukan kenalan adalah di antara penyebab utama komuniti mudah berkembang. Dengan wujudnya komuniti yang sangat besar keahliannya, seseorang usahawan itu mampu menggunakannya sebagai platform untuk memasarkan produk/perkhidmatan dengan lebih mudah.

TIP MENGGUNAKAN MEDIA SOSIAL UNTUK MEMPROMOSIKAN PERNIAGAAN


Media sosial menawarkan platform pengiklanan yang murah dan berkesan. Untuk memastikan bahawa promosi yang dijalankan di media sosial dapat mencapai sasaran  yang ditetapkan, tip seperti di bawah boleh dijadikan sebagai panduan semasa menjalankan kempen pemasaran melalui media sosial.
1.      Sumbang, bekerjasama, berkongsi maklumat dan mendidik jangan menjual. Media sosial berbeza dengan iklan berbayar. Media sosial digunakan untuk membina reputasi dan hubungan baik dengan bakal pembeli; cari jalan untuk membantu menyelesaikan masalah dan berkongsi maklumat dengan kumpulan sasar.
2.      Kongsi maklumat yang berguna dan berkualiti tinggi. Perkongsian boleh dibuat dengan cara menulis artikel di dalam media sosial, Blog atau menyumbang artikel kepada Blog pihak lain.
3.      Mulakan dengan langkah yang kecil dan bina kejayaan. Bina Blog anda sendiri atau beri komen pada artikel orang lain. Kongsi kepakaran anda dengan membantu menyelesaikan masalah pengunjung forum atau grup Facebook yang mempunyai kaitan dengan bidang kepakaran anda.
4.      Tinggalkan nama dan URL apabila anda memberi komen di dalam Blog, media sosial atau forum. Keadaan ini akan membantu meningkatkan trafik ke laman Web anda terutama sekali jika anda berkongsi maklumat yang berguna dan menarik.
5.      Berkongsi video atau gambar. Elakkan dari menjual secara agresif dengan menggunakan media sosial.
6.      Sertai kumpulan atas talian seperti gerup Whatsapp, Facebook dan Telegram atau forum yang mempunyai kaitan dengan  produk atau perkhidmatan yang anda jual. Sentiasa berkongsi maklumat dan hulurkan bantuan.
7.      Hormati peraturan asas yang ditetapkan di dalam sebuah media sosial, elakkan dari menjual secara agresif.

PEMASARAN MEDIA SOSIAL




Pemasaran media sosial memanfaatkan media sosial untuk meningkatkan kesedaran dan mempromosikan produk atau perkhidmatan dengan menggunakan Internet. Selain dari membina jaringan sosial media sosial juga boleh digunakan untuk membina jaringan perniagaan untuk bertukar – tukar idea dan pengetahuan (Saravanakumar, Professor, & Lubasch, 2012).

Jaringan media sosial adalah sebahagian daripada Web 2.0.  Web 2.0 merujuk kepada cara pengguna dan pembangun laman sesawang membangunkan sesebuah laman sesawang. Web 2.0 menjadikan laman sesawang mudah lebih mudah untuk digunakan untuk menyuburkan kreativiti dan pertukaran maklumat.  Antara aplikasi yang telah dibangunkan ialah Blog, RSS (Really Simple Syndication) dan sosial bookmarking. Ciri terpenting di dalam Web 2.0 ialah maklumat boleh ditulis, dikongsi dan diubahsuai.

Blog yang merupakan singkatan dari weblog adalah sebuah jurnal atas talian atau laman sesawang berbentuk informasi yang memaparkan maklumat dalam susunan terbalik di mana post yang terakhir akan di paparkan dahulu, contoh blog ialah http://notaautomotif.blogspot.com/.

Real Simple Syndication (RSS) ialah istilah yang digunakan untuk merujuk kepada koleksi suapan maklumat yang membolehkan maklumat dikongsi atau dikemas kini dengan cara yang sistematik. Maklumat yang boleh dikongsi terdiri daripada artikel terkini laman web atau blog, tajuk berita atau fail video atau audio. Dokumen RSS biasanya mengandungi keseluruhan atau sebahagian daripada dokumen asal.

Berikut adalah lima sebab utama sesebuah perniagaan perlu menggunakan media sosial untuk memasarkan produk atau perkhidmatan mereka:
  1. Maklumat berkaitan produk atau perkhidmatan oleh disampaikan kepada ramai orang dengan kos pengiklanan yang kecil.
  2. Bilangan pelawat ke sesebuah laman web boleh dipertingkatkan dengan berkongsi pautan laman web di dalam media sosial. Keadaan ini akan dapat mempertingkatkan page rank dan mendapat kedudukan yang lebih di dalam enjin carian seperti Google dan Yahoo
  3.  Media sosial adalah pelengkap kepada strategi pemasaran yang lain seperti pengiklanan berbayar.
  4.  Boleh membina kredibiliti dengan menyertai forum dan memberi jawapan kepada soalan yang dibangkitkan.
  5. Media sosial mengandungi maklumat peribadi pengguna seperti profil peribadi yang boleh digunakan untuk menyasarkan iklan tertentu kepada kumpulan sasar yang spesifik.



KEMPEN PEMASARAN


Kempen pemasaran adalah merupakan terjemahan dari perancangan yang dibuat di dalam pelan pemasaran. Pelan pemasaran yang efektif mestilah dirancang dengan menggunakan kaedah SMART iaitu spesifik (specific), boleh diukur (measureable), mampu dicapai (achieveable),  boleh dilaksanakan (realistic) dan mempunyai jangka masa (time bound). 


Kempen pemasaran dijalankan dengan salah satu daripada dua objektif iaitu penjenamaan atau jualan.
Kempen penjenamaan dilaksanakan untuk memperkenalkan produk atau perkhidmatan yang baru berada di pasaran atau untuk mengukuhkan kedudukan jenama tersebut di pasaran. Objektif pemasaran ini boleh dicapai dengan memperkenalkan nama, logo dan slogan produk atau perkhidmatan dan memastikan prospek memahami nilai yang dibawa oleh produk atau perkhidmatan seperti bermutu tinggi, menjimatkan bahan api dan mengurangkan kerosakan kepada komponen enjin serta memperkukuhkan kepercayaan pelanggan terhadap jenama tersebut di pasaran.

Kempen jualan digunakan untuk memujuk pelanggan untuk membeli sesuatu produk atau perkhidmatan. Antara kaedah yang sering digunakan untuk menarik perhatian pelanggan ialah memberikan tawaran istimewa atau potongan harga kepada bakal pembeli dan pelanggan dan menerangkan mengenai bagaimana produk atau perkhidmatan boleh memenuhi keperluan atau kehendak pembeli atau memberi nilai tambah kepada kehidupan mereka.

Kempen pemasaran melibatkan empat fasa iaitu perancangan, pengenalan, penjenamaan & jualan dan ganjaran seperti yang ditunjukkan di dalam Rajah 2.10.



STUKTUR PERNIAGAAN DIGITAL


Sebelum mengkaji dengan lebih mendalam mengenai cara untuk memanfaatkan pemasaran digital kita perlu memahami struktur perniagaan digital. Perniagaan digital terdiri daripada lima elemen asas iaitu laman web, E-Commerce, media sosial, medium komunikasi dan marketplace.




Komponen terpenting di dalam sesebuah dunia perniagaan digital ialah laman web perniagaan yang berfungsi sebagai kedai di alam maya. Kedai maya ini beroperasi selama 24 jam dan boleh dilawati oleh sesiapa sahaja dari seluruh dunia yang  mempunyai akses kepada talian Internet.

Untuk menarik perhatian pengunjung laman web mestilah kemas dan tersusun dengan sistematik untuk memudahkan bakal pembeli mengenali produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Untuk produk yang berbentuk fizikal laman web boleh digabungkan dengan fungsi E-Commerce untuk memudahkan pembeli membuat tempahan. Media sosial boleh digunakan untuk menarik trafik mengunjungi laman web perniagaan.

E-Commerce ialah sebuah sistem perdagangan digital yang digunakan untuk menjalankan transaksi pembelian secara terus melalui kaedah debit atau kredit menggunakan “payment gateway” yang diintegrasikan di laman web. Sistem E-Commerce juga boleh digunakan untuk mengawal inventori masuk dan keluar, memantau status penghantaran barangan kepada pelanggan serta mengumpul  maklumat pelanggan di dalam bentuk database.

Media sosial merupakan pintu kepada kedai digital. Facebook dan Instagram adalah platform media sosial yang popular yang digunakan untuk berkongsi maklumat mengenai sesuatu produk atau perkhidmatan. Pautan ke laman web boleh diletakkan di media sosial untuk menarik trafik ke sesebuah laman web perniagaan.

Facebook Messenger, Whatsapp dan emel merupakan jambatan yang menghubungkan pembeli atau prospek dengan penjual. Medium komunikasi digunakan sebagai saluran kepada prospek atau bakal pembeli untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan sesuatu produk atau perkhidmatan atau maklumat berkaitan pembayaran dan penghantaran.

Marketplace merupakan ekosistem perniagaan yang dibangunkan oleh pihak ketiga seperti Lazada, Zalora, Mudah.my dan Ali Baba yang menyediakan infrastruktur dan ruang pasaran perniagaan yang lengkap kepada penjual dan pembeli. Penjual perlu membayar yuran perkhidmatan yang tertentu untuk menggunakan kemudahan yang disediakan ini.

KONSEP ASAS PEMASARAN


Konsep pemasaran merujuk kepada strategi pengurusan yang digunakan untuk menjual sesuatu produk atau perkhidmatan. Berbeza dengan jualan yang hanya mementingkan keuntungan, pemasaran melibatkan aktiviti yang dilakukan oleh penjual untuk mendapatkan keuntungan dan memuaskan hati pelanggan.

Terdapat lima kategori konsep pemasaran iaitu konsep pengeluaran, konsep keluaran, konsep jualan, konsep pemasaran dan konsep pemasaran kemasyarakatan. Penjelasan mengenai konsep ini diringkaskan di dalam Jadual 2.2.


Jadual 2.2: Konsep pemasaran
Jenis konsep pemasaran
Takrif
Konsep Pengeluaran
Konsep ini menganggap pengguna mempunyai kecenderungan untuk memilih keluaran-keluaran yang tersedia dan berharga murah. Konsep ini mementingkan peningkatan dalam kecekapan pengeluaran dan agihan. Konsep ini sesuai digunakan apabila:
  • Permintaan melebihi penawaran.
  • Kos pengeluaran tinggi dan produktiviti perlu ditingkatkan untuk menurunkan kos.
Konsep Keluaran
Konsep keluaran memberikan tumpuan kepada kualiti produk dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada bakal pengguna. Pemasar yang mengadaptasi konsep jualan cenderung untuk melakukan penambahbaikan secara berterusan untuk meningkatkan kualiti produk atau servis yang ditawarkan.
Konsep Jualan
Organisasi yang menggunakan konsep jualan percaya pembeli harus didorong untuk membeli produk atau perkhidmatan mereka, bajet yang besar akan diperuntukkan untuk membiayai aktiviti promosi produk atau perkhidmatan.
Konsep Pemasaran
Konsep pemasaran meletakkan kepuasan bakal pengguna sebagai objektif utama mereka. Produk atau servis yang dipasarkan dengan menggunakan konsep ini direka supaya ianya memenuhi keperluan dan kehendak pengguna.
Konsep Pemasaran Kemasyarakatan
Konsep ini memerlukan pemasar untuk mengambil berat tentang hal-ehwal dan kebajikan pengguna dan masyarakat. Ia memerlukan organisasi untuk memahami dan memuaskan kehendak pengguna melalui cara yang terbaik bagi pengguna dan masyarakat dalam jangka masa panjang.


ELEMEN ASAS PEMASARAN


Pelanggan atau klien menurut Dewan Bahasa Dan Pustaka ialah  orang yang membeli produk atau mendapatkan perkhidmatan daripada kita dengan secara tetap, manakala pembeli pula ialah orang yang membeli produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.

Elemen asas pemasaran terbahagi kepada 11 perkara seperti yang disenaraikan di dalam Jadual 2.1. Tujuan utama pemasaran ialah untuk memenuhi keperluan dan kehendak pelanggan.


Jadual 2.1: Elemen asas pemasaran
Elemen pemasaran
Takrif
Keperluan
Perkara asas yang berguna atau penting di dalam kehidupan seseorang manusia.
Kehendak
Hajat, keinginan atau kemahuan.
Permintaan
Perbuatan meminta. Di dalam pemasaran permintaan merujuk kepada keinginan seseorang untuk memenuhi sesuatu keperluan.
Produk
Apa sahaja yang ditawarkan kepada pembeli untuk dimiliki atau digunakan untuk memenuhi keperluan dan kehendak pembeli. Produk tidak terhad kepada barangan berbentuk fizikal sahaja, perkhidmatan seperti perbankan, perhotelan, penerbangan juga merupakan satu produk.
Perkhidmatan
Aktiviti atau faedah yang ditawarkan kepada pembeli atau pelanggan yang tidak boleh dimiliki secara ketara.
Nilai
Harga sesuatu dibandingkan dengan harga yang lain
Kepuasan
Berasa senang kerana sudah terpenuh hasrat hati
Kualiti
Keadaan sesuatu benda
Pertukaran
Memberi dan menerima ganti
Urus niaga
Segala urusan yang berkaitan dengan perniagaan atau perdagangan
Perhubungan
Proses membina rangkaian di antara penjual dengan pembeli


Analisis SWOT

Analisis SWOT digunakan untuk menghasilkan sebuah pelan pemasaran yang mengambil kira kekuatan dan kelemahan sesebuah perniagaan serta peluang dan ancaman yang dihadapi di pasaran semasa.

Akronim SWOT merujuk kepada Kekuatan (Strengths), Kelemahan (Weaknesses), Peluang (Opportunities) dan Ancaman (Threats). Kekuatan dan kelemahan merujuk kepada keadaan dalaman yang mampu dikawal oleh sesebuah organisasi contohnya reputasi, lokasi dan kualiti produk yang dipasarkan. Peluang dan ancaman merujuk kepada persekitaran luaran yang sukar untuk dikawal oleh organisasi seperti harga, pembekal dan pesaing.

Klik gambar untuk paparan lebih jelas



Perniagaan sedia ada boleh menggunakan penemuan dari analisis SWOT untuk membuat perubahan dan bertindak balas terhadap persekitaran dengan proaktif. Perniagaan baru menggunakan analisis SWOT di dalam fasa perancangan perniagaan. Perancangan yang baik akan dapat membawa perniagaan berjalan di atas landasan yang betul serta mengurangkan “sakit kepala” di kemudian hari.
Untuk menghasilkan sebuah analisis SWOT yang baik perbincangan perlu dibuat bersama – sama jabatan dan pihak yang berkepentingan di dalam sesebuah organisasi. Cara ini akan dapat memastikan kepatuhan kepada keputusan yang dirangka di dalam analisis ini.

Berikut adalah beberapa soalan yang boleh ditanya semasa menjalankan analisis SWOT:


Analisis SWOT
Kekuatan (dalaman, faktor positif)
Kelemahan (faktor dalaman negatif)
Kekuatan menggambarkan sifat positif sama ada yang boleh diukur atau tidak boleh diukur yang terdapat di dalam organisasi yang berada di dalam kawalan.
Kelemahan ialah bahagian dalam perniagaan yang menyimpang dari nilai yang ditawarkan atau mengurangkan kebolehan untuk bersaing dengan pesaing. Bahagian ini perlu diperbaiki untuk bersaing dengan pesaing terkuat.
Soalan untuk mengenal pasti Kekuatan:

Apa bidang kepakaran yang ada?

Apa sumber dalaman yang ada?
Sifat positif yang ada pada manusia seperti pengetahuan, pengalaman, pendidikan, jaringan, pengiktirafan, reputasi dan kemahiran.
Aset ketara seperti modal, kemudahan kredit, pelanggan sedia ada atau saluran pemasaran, paten atau teknologi.

Apa kelebihan yang ada berbanding pesaing?

Adakah terdapat kemudahan untuk membuat penyelidikan dan pembangunan (R&D)?

Adakah terdapat kemudahan untuk menghasilkan produk?

Apa nilai positif yang lain yang ada di dalam organisasi yang memberi tambah nilai kepada perniagaan untuk mengatasi persaingan?
Soalan untuk mengenal pasti kelemahan:

Apa faktor yang berada di dalam kawalan yang menghalang perniagaan untuk mengatasi pesaing?

Bahagian manakah yang perlu diperbaiki untuk mencapai matlamat untuk bersaing atau mengatasi pesaing yang paling kuat?

Apakah kekurangan perniagaan anda?
(Contohnya, kepakaran, teknologi atau akses kepada kemahiran).

Adakah sumber yang diperlukan mencukupi?

Adakah lokasi perniagaan sekarang sesuai?

Peluang (faktor luaran yang positif)
Ancaman (Faktor luaran yang negatif)
Peluang adalah faktor luaran yang positif yang boleh membantu meningkatkan prestasi sesebuah perniagaan.
Ancaman ialah faktor luaran yang berada di luar kawalan yang boleh menyebabkan strategi perniagaan terganggu atau perniagaan akan terbantut. Keadaan ini tidak boleh dikawal tetapi pelan kontingensi atau rancangan luar jangka boleh membantu untuk berhadapan dengan keadaan ini jika ia berlaku.
Soalan untuk mengenal pasti peluang:

Apa peluang yang wujud di dalam pasaran yang boleh dimanfaatkan?

Adakah perniagaan anda mempunyai reputasi yang baik?

Adakah terdapat sebarang perkembangan terkini di dalam pasaran yang boleh membantu memajukan perniagaan?

Adakah pasaran sedang mengembang atau menguncup?
Soalan untuk mengenal pasti ancaman:

Siapakah pesaing sedia ada atau bakal pesaing pada masa depan?

Apakah faktor yang berada di luar kawalan yang boleh menyebabkan perniagaan berada di dalam risiko?

Adakah cabaran yang wujud dari trend atau perkembangan yang tidak disenangi akan mengurangkan pendapatan dan keuntungan?
Apakah situasi yang boleh mengancam usaha pemasaran?

Adakah harga dari pembekal akan berubah apabila bekalan bahan mentah berkurangan?

Adakah perubahan pada dasar kerajaan, keadaan ekonomi atau gelagat pembelian pengguna akan mengurangkan jualan?

Adakah terdapat produk atau teknologi baru diperkenalkan yang memberi kesan buruk kepada produk, peralatan atau perkhidmatan yang anda tawarkan?




Analisis TOWS: Membina strategi daripada analisis SWOT
Keputusan daripada analisis SWOT oleh digunakan untuk menyusun strategi jangka pendek dan jangka panjang untuk perniagaan. Tujuan utama analisis SWOT dijalankan adalah untuk memaksimumkan pengaruh positif kepada perniagaan dan meminimumkan pengaruh negatif.

Proses menukarkan keputusan dari analisis SWOT kepada strategi dikenali sebagai anlisis TOWS.

Di dalam analisis TOWS kekuatan akan digabungkan dengan peluang (strategi kekuatan – peluang). Kemudian kaedah yang sama akan digunakan untuk merangka strategi bagaimana untuk mengatasi ancaman dengan menggabungkan kekuatan dan ancaman. Seterus peluang akan digabungkan dengan kelemahan untuk merangka strategi peluang – kelemahan yang bertujuan untuk mengurangkan kelemahan atau menggunakan kelemahan untuk mengatasi ancaman yang dikenali sebagai strategi kelemahan – ancaman.

Contoh strategi yagn boleh dibentuk ialah seperti di dalam rajah di bawah.

Analisis TOWS

Peluang
(Luaran, positif)
Ancaman
(Luaran, negatif)
Kekuatan
(Dalaman, positif)
Strategi kekuatan – peluang
Apa kekuatan yang ada pada organisasi yang boleh digunakan untuk merebut peluang yang terdapat di pasaran?
Strategi kekuatan – ancaman
Bagaimana kekuatan yang ada pada organisasi yang boleh digunakan untuk mengatasi ancaman?
Kelemahan
(Dalaman, negatif)
Strategi kelemahan – peluang
Apa tindakan yang boleh dilakukan untuk mengatasi kelemahan organisasi dengan memanfaatkan peluang yang ada di pasaran?
Strategi kelemahan – ancaman
Bagaimana untuk mengurangkan kelemahan yang ada pada organisasi untuk mengatasi ancaman yang telah dikenal pasti?









Sumber: https://articles.bplans.com/how-to-perform-swot-analysis/

Pengiraan margin jualan

Margin merupakan untung bersih yang diperolehi oleh usahawan setelah menolak kos – kos yang terlibat secara langsung dan tidak langsung semasa proses penghasilan produk atau perkhidmatan.

Katakan kita beli satu barang dengan harga RM10 dan jual dengan harga RM20. 
Berapa untung kita?

Harga kos beli = RM10
Harga jualan = RM20

Untung RM10! Wow! Banyak tu.

Yang kat atas tu dipanggil untung kasar atau gross margin, untung yang belum tentu untung.

Untung kasar = (Harga Jual - Harga beli)/Harga jual

Untung kasar = (20-10)/20 = 50%

Kenapa belum tentu untung, sebab dalam untung kasar tu masih ada kos lain yang belum dikira.

Apa kos-kos lain?
Katakan kos-kos lain dalam bentuk peratusan ialah seperti berikut:
Gaji kita = 10% (Untung perniagaan bukan duit kita, kita hanya boleh ambil gaji je)
Untung syarikat = 15% (Ya, kita perlu siap-siap letakkan untung yang kita mahu. Bukan tunggu apa yang tinggal kemudian)
Kos iklan = 10%
Kos tetap = 10% (Kos sewa, pekerja, utiliti dsb)
Kos pos = 12% (Jika kita tanggung kos pos)
Jumlah kos tersembunyi = 57%

Jadi dalam kes ini kita masih rugi, sebab untuk dapat untung kita perlu dapat untung kasar sekurang – kurangnya 57%, lebih daripada tu baru dikira sebagai untung bersih.

Margin atau Markup

Margin Untung = Untung / Harga Jual

Margin Untung = RM10 / RM20
Margin Untung = 50%

Markup Untung = Untung / Kos

Markup Untung = RM10 / RM10
Markup Untung = 100%

Pengiraan Markup akan menunjukkan yang anda banyak untung. Walaupun sebenarnya tidak.
20% Markup = 16.7% Margin
30% Markup = 23% Margin
40% Markup = 28.6% Margin
50% Markup = 33% Margin
100% Markup = 50% Margin
Untung 100% atau lebih dari itu sebenarnya tahyul.


Gunakan Margin apabila menentukan harga jualan. Kalau gunakan Markup, akan ada beberapa masalah yang timbul. Contohnya kos-kos tersembunyi lain akan diabaikan. Maka harga jualan kurang tepat. Untung boleh jadi nipis atau rugi terus.



Klik gambar untuk paparan yang lebih jelas
Klik gambar untuk paparan yang lebih jelas

Pengiraan modal

Idea untuk mulakan bisnes sudah ada. Peluang pun sudah terbuka, tetapi bagaimana pula dengan modal yang diperlukan? Ada usahawan yang terlampau bersemangat untuk memulakan bisnes sehingga sanggup bergadai dan juga berhutang. Ada juga yang tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan modal dan persoalan ini kadang kala boleh mematahkan niat usahawan untuk memulakan bisnes. Adakah anda berada dalam kategori tersebut?

Soal modal bukanlah perkara yang boleh dipandang remeh. Persediaan rapi dari segi kewangan perlu dilakukan oleh bakal usahawan. Beberapa faktor perlu diambil kira untuk menentukan jumlah yang diperlukan bagi memulakan bisnes. Modal bisnes sebenarnya bergantung kepada jenis perniagaan yang ingin dijalankan. Lain bisnes, lain jumlah modal diperlukan. Usahawan perlu menyediakan senarai perbelanjaan serta menganggar kos yang perlu dikeluarkan. Seterusnya, buat pengiraan hasil jualan bulanan untuk jangka masa setahun atau enam bulan paling minimum.

Faktor yang perlu diambil kira untuk mengenal pasti jumlah modal adalah:

Kos jualan
Ambil kira penggunaan bahan mentah, mesin atau peralatan untuk menghasilkan produk, kos pembungkusan dan juga penghantaran.

Yuran
Termasuk yuran profesional dan konsultansi seperti pendaftaran perniagaan dan jenama, upah peguam atau yuran dokumen perjanjian rakan kongsi jika ada.

Teknologi
Kalau menjalankan bisnes, sudah pasti usahawan akan menggunakan pelbagai peralatan teknologi seperti telefon, komputer, mesin cetak dan faks, internet dan juga kos penyelenggaraan. Ambil kira kesemua teknologi yang akan digunakan ketika operasi bisnes berjalan.

Pengurusan dan pentadbiran
Kos sewa tapak atau premis perniagaan, kesemua jenis bil bulanan seperti bil telefon, air dan elektrik.

Jualan dan pemasaran
Kenal pasti apa teknik pemasaran yang ingin digunakan. Sebagai contoh kos mencetak banner, atau pengiklanan di surat khabar atau majalah untuk tujuan promosi. Jika ingin gunakan medium elektronik sebagai promosi, ambil kira kos pengiklanan melalui televisyen mahu pun radio. Selain itu, kira juga kos seperti penyewaan tapak dan yuran untuk menyertai mana-mana ekspo.

Upah dan gaji
Gaji usahawan dan pekerja, seterusnya jangan abaikan kebajikan pekerja seperti kos perubatan, caruman EPF dan SOCSO.

Untuk mengetahui berapa modal yang diperlukan, usahawan perlu senaraikan kesemua faktor di atas secara terperinci. Tapi perlu diingat,utamakan yang mana lebih penting dahulu jika ingin meminimumkan modal. Namun begitu, dalam membeli peralatan untuk menjalankan bisnes, seeloknya belilah yang berkualiti untuk kegunaan jangka masa panjang. Paling penting, jangan mengharapkan keuntungan pada bulan pertama bisnes dijalankan.

Sumber: INSKEN

Klik gambar untuk paparan lebih jelas



Mengenali Pelanggan


Tahniah! Sekarang kau dah tahu apa nak jual dan apa kelebihan barangan jual kau.
Soalan berikutnya: 

Kau nak jual pada siapa?
Apalah kau, siapa nak beli aku juallah? Cop, cop, berehat sebentar bersama – sama Kitkat.

Kau meniaga apa sebenarnya?
Aku jual burger.

Ok, kalau ada orang dari negara Go Head Gostan nak order burger kau boleh tak?
Mana boleh bro! Aku buat Cash On Delivery, sekitar bandar aku aje.

Kalau camtu kau kena buat segementation, kau tak boleh jual pada semua orang.
Maksud kau jual burger tak perlu buat promosi ke?
Mana boleh camtu bro. Tak kenal maka tak tahu. Burger king yang bisnes berjuta pun buat promosi.

Kau tetap kena buat promosi tapi kena tumpu pada golongan sasaran, itulah segementation.

Maksudnya bila kau buat iklan guna FB Ads ke, Instagram ke, Whatsapp ke, kau kena sesuaikan dengan golongan sasaran kau, guna bahasa yang sesuai dengan mereka, sasarkan iklan kau kat kawasan yang sesuai, baru iklan dan promosi yang kau buat tu berbaloi. Baru boleh dapat Return On Investment (ROI).

Benda ni akan kita bincang bila sampai masa yang sesuai nanti, sekarang ni ingat. Jangan Jual kepada semua orang, buat segmentasi.


Klik gambar untuk paparan lebih jelas

Well3 Tongkat Ali Capsule

Well3 Tongkat Ali Capsule RM 104.00 Kapsul Tongkat Ali diperbuat daripada akar Tongkat Ali yang berkualiti tinggi, diperolehi darip...